Interaksi dan Dasar

Posted by Rema G - -






 PENGENALAN
KONSEP INTERAKSI

Menurut kamus komunikasi (Effendy. 1989: 184) definisi interaksi adalah proses saling mempengaruhi dalam bentuk perilaku atau kegiatan diantara anggota-anggota masyarakat. Individu, emosi, perlakuan dan tindak balas dapat dianalisis melalui interaksi dengan individu lain melalui proses interaksi dalam kehidupan sosial mereka. Individu-individu ini berinteraksi menggunakan simbol-simbol iaitu mengandungi tanda-tanda, isyarat dan kata-kata.(Mead 1934).
Penubuhan sesebuah negara yang mengandungi pelbagai kumpulan etnik memerlukan satu kesatuan dan kerjasama  politik, ekonomi dan sosial yang kukuh dan sepadu. Kesatuan etnik hanya dapat dicapai melalui interaksi. Lebih erat pola interaksi dibentuk antara etnik maka semakin kukuh perpaduan serta persefahaman rakyat di negara itu. Interaksi dalam kalangan penduduk dapat menentukan kestabilan politik, sosial, ekonomi serta kesejahteraan rakyat. Interaksi merupakan satu aspek penting dalam pembinaan jati diri terutama dalam kalangan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Dalam kalangan negara-negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik seperti Amerika Syarikat, England, Belanda, India, Indonesia, dan Malaysia menghadapi pelbagai cabaran serta kesulitan dalam usaha mengintegrasikan rakyatnya. Keadaan ini menjadi semakin sukar dan rumit jika setiap kumpulan etnik mahu mengekalkan identiti masing-masing dan tidak mahu menerima satu identiti nasional yang dapat mewujudkan perpaduan antara pelbagai kumpulan etnik. Secara amnya, dapat dijelaskan bahawa interaksi memberikan kesan dan menjadi aspek penting dalam kehidupan pelbagai etnik, bangsa dan kepercayaan.


INTERAKSI ANTARA ETNIK SEBELUM MERDEKA
Interaksi antara kaum di Malaysia iaitu sebelum mencapai kemerdekaan tidak begitu meluas dan bermakna semasa zaman penjajahan. Interaksi antara etnik sebelum merdeka kita boleh lihat pada era Kesultanan Melayu Melaka, era penjajahan British, era penjajahan Jepun, dan semasa negara di ambang kemerdekaan.


ERA KESULTANAN MELAYU MELAKA
Sebelum kedatangan penjajah di Tanah Melayu, interaksi antara etnik sebenarnya sudah pun wujud. Seperti yang kita tahu, Tanah Melayu khususnya empayar Melayu Melaka menjadi tumpuan pedagang dari seluruh negara terutamanya pedagang dari China, India, dan Arab. Bilangan masyarakat pendatang pada masa itu adalah dalam kuantiti yang sedikit dan ditambah pula dengan sikap mereka yang mudah menerima dan mengikuti budaya orang Melayu. Misalnya, masyarakat Baba dan Nyonya serta India Muslim. Dari sinilah wujudnya masyarakat majmuk dan hubungan etnik yang unik di Tanah Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa Lingua Franca sebenarnya menjadi penghubung kepada interaksi antara kaum pada masa itu. Melalui satu bahasa yang dituturkan dilihat ia berperanan sebagai agen perubahan pada masa itu. Alasan yang kuat ialah Bahasa Melayu mempunyai nilai tambahan yang cukup banyak yang mana tidak terdapat dalam bahasa-bahasa lain yang digunakan di negara ini. Di samping itu, hubungan antara etnik dan antara bangsa-bangsa menjadi lebih rancak apabila pedagang-pedagang yang beragama Islam turut menyebarkan agama Islam semasa berdagang. Melalui penggunaan Bahasa Melayu serta penyebaran agama Islam dalam aktiviti seharian masyarakat membawa kepada interaksi yang lebih berkesan dan berperanan sebagai agen perubahan yang positif di samping sikap mereka saling menghormati dan mengiktiraf kewibawaan kerajaan dan budaya masing-masing. Melalui dasar ekonomi yang dijalankan pada masa itu lah sebenarnya memberi peluang kepada kewujudan interaksi antara kepelbagaian etnik ini.


ERA PENJAJAHAN BRITISH
Pada zaman pemerintahan British, penjajah telah mewujudkan kelompok-kelompok etnik berdasarkan kegiatan ekonomi. Hal ini bertujuan untuk menjaga kepentingan mereka agar tidak terjejas dengan kewujudan perpaduan kaum kerana mereka mahu mengeksploitasi semaksimum yang mungkin kekayaan semula jadi yang terdapat di Tanah Melayu pada masa itu. Oleh itu, mereka telah menetapkan status dan peranan yang berbeza bagi setiap kaum. Misalnya, kaum Melayu yang bertani digalakkan tinggal di kawasan luar bandar, buruh dari India yang kebanyakannya penoreh getah tinggal di estet, dan imigran dan buruh dari China yang berniaga dan bekerja di lombong tinggal di kawasan bandar. Dasar pecah dan perintah yang dijalankan oleh British berjaya direalisasikan dan kesannya interaksi antara kaum menjadi terbatas hanya di pejabat dan pasar sahaja. Pemisahan penempatan bukan sahaja boleh merenggangkan hubungan dan interaksi pelbagai etnik, tetapi juga memperkuatkan lagi perasaan kekitaan dan etnosentrisme dalam kalangan anggota yang seterusnya prasangka, streotaip dan mengekalkan kejahilan dalam kalangan etnik yang lain. Keadaan ini menambahkan lagi kesukaran bagi memupuk perpaduan kaum ekoran interaksi antara kaum yang sememangnya kurang pada masa itu.  Malah, sistem pendidikan yang diamalkan pada zaman penjajahan British secara tidak langsung menjadi antara sebab lain interaksi antara etnik di Tanah Melayu pada masa itu terhad. Sekolah vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P). Terdapat tiga jenis sekolah vernakular yang ditubuhkan pada masa itu iaitu, sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Tamil, dan sekolah vernakular Cina. Sekolah vernakular Melayu yang pertama sekali ditubuhkan ialah pada tahun 1855, iaitu di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Pada tahun 1872, A.M. Skinner memperkenalkan persekolahan dua sesi iaitu, pagi dan petang di mana sesi pagi mata pelajaran yang diajar adalah Bahasa Melayu, Matematik, Ilmu Alam dan mata pelajaran vokasional. Manakala, sesi petang pula pengajaran dan pembelajaran adalah berfokus kepada Bahasa Arab dan al-Quran. Sekolah vernakular Cina ditubuhkan pada tahun 1815 oleh kumpulan pendakwah baru Persatuan Pendakwah London. Terdapat juga sekolah Cina yang dibuka oleh orang perseorangan. Sekolah Cina menggunakan bahasa Cina /Mandarin (Kuv Yu) sebagai bahasa pengantar, manakala guru-guru dan buku teks diimpot dari Negara China. Contoh sekolah vernalular Cina ialah SJK (C) Hua Lian, Tanjung Malim, Perak dan SJK (C) Chung Hwa, Kota Bharu, Kelantan. Kelas Bahasa Cina diadakan di semua Free School, iaitu di Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, namun ia gagal dan telah dihentikan. Sekolah vernakular Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Guru, kurikulum, dan buku teks diimpot dari India. Contohnya, SJK (T) Manikavasagam, Tanjung Malim, Perak. Pada tahun 1925, Kod Buruh berkuatkuasa, di mana semua estet vang mempunyai 10 orang kanak-kanak dalam umur persekolahan diwajibkan menyediakan sekolah yang bertujuan membasmi buta huruf. Sekolah Inggeris hanya terdapat di kawasan bandar dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Pendidikan bahasa Inggeris mula diperkenalkan dalam kalangan anak bangsawan Melayu pada tahun 1905. Penang Free School (1816) merupakan sekolah Inggeris pertama yang ditubuhkan. Guru-guru yang mengajar di sekolah Inggeris ini terdiri daripada paderi yang mendapat pendidikan di Eropah. Pengasingan sistem pendidikan mengikut kaum menyebabkan interaksi hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama sahaja. Walaupun pendidikan disediakan oleh penjajah namun kesemuanya boleh dilihat lebih menjurus kepada kepentingan mereka sendiri. Melalui sistem pendidikan yang dibentuk berorientasikan satu-satu kaum ini, maka interaksi antara kaum diharapkan tidak berlaku kerana bimbang akan menggugat kuasa mereka di Tanah Melayu yang sememangya menyimpan seribu satu manfaat. Oleh itu, amat jelaslah bahawa semasa penjajahan British, hubungan antara etnik adalah lebih menjurus kepada konsep segregasi iaitu hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di Tanah Melayu, yang mana pemisahan dari aspek tempat tinggal, pendidikan, pengangkutan dan kemudahan awam yang seterusnya menyukarkan komunikasi antara mereka.

ERA PENJAJAHAN JEPUN

Pendudukan Jepun walaupun singkat namun ia juga memberi kesan kepada pembentukan masyarakat Malaysia yang sedia wujud pada hari ini. Penjajahan Jepun mewujudkan kesan sosial berkaitan dengan hubungan antara kaum dan juga keadaan masyarakat dari segi pendidikan serta pentadbiran. Semasa Perang Dunia ke dua, terdapat dua bentuk hubungan kaum iaitu hubungan kerjasama antara kaum menentang penjajah Jepun (MPAJA) dan juga hubungan tegang antara etnik Melayu dan Cina ekoran dasar pilih kasih terhadap etnik Cina.
 Ketegangan antara kaum Melayu dan Cina menjadi lebih buruk apabila Jepun menyerah kalah. Kesempatan ini telah digunakan oleh orang Cina yang menganggotai MPAJA untuk membalas dendam bukan sahaja kepada orang Melayu yang menganggotai tentera Jepun tetapi juga kepada orang Melayu yang lain. Lantas hubungan kedua-dua kaum tersebut menjadi renggang dan melebarkan lagi jurang perkauman antara etnik. Interaksi antara etnik pada masa tersebut lebih bernada negatif ekoran dasar diskriminasi yang  dijalankan oleh penjajah Jepun .


ERA AMBANG KEMERDEKAAN
Walaupun secara kasarnya dilihat interaksi antara etnik tidak begitu meluas namun ia tetap wujud dan sememangnya memberi impak yang mendalam pada zaman tersebut. Dasar Persekutuan British misalnya dijalankan bertujuan untuk menyatukan wilayah-wilayah di Tanah Melayu iaitu Negeri-Negeri Selat (NNS), Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB), dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB). Dasar Persekutuan ini sebenarnya menjadi ilham kepada pemimpin negara untuk membentuk Kerajaan Campuran. Antara tiga parti politik di bawah satu perikatan adalah UMNO yang mewakili orang Melayu, MIC mewakili orang India, dan MCA adalah parti yang mewakili orang Cina. Melalui penggabungan ketiga-tiga parti ini, kita dapat lihat interaksi antara kaum berlaku dengan rancakknya. Mereka bersatu hati untuk mendapatkan kemerdekaan yang dikongsi bersama-sama. Segala masalah yang berlaku sebelum ini diketepikan semata-mata demi ke arah berkerajaan sendiri.
“Saya tidak akan berganjak sekalipun kerana saya cukup yakin dengan
 kekuatan kita untuk mencapai kemerdekaan ....Saya telah masuk ke
 gelanggang politik dengan azam hendak berkorban berhabis-habisan
 kerana bangsa dan tanah air”
            (Sumber: Meniti Catatan Sejarah, 2005: 35)
Melalui ucapan yang diberikan oleh Tunku Abdul Rahman sebelum berlepas ke London untuk rundingan kemerdekaan kita dapat lihat bahawa melalui penyatuan dan kerjasama menjadikan kita lebih kuat dan stabil di negara sendiri. Begitu juga halnya kerjasama serta interaksi yang terjalin dalam ketiga-tiga kaum utama di Tanah Melayu membawa kepada sesuatu dimensi baru yang lebih bermakna. Melalui pakatan inilah kita berjaya memperoleh kemenangan menerusi Pilihan Raya yang pertama pada tahun 1955. Walaupun begitu, interaksi yang betul-betul berkesan sebenarnya belum dicapai seratus peratus. Hal ini dibuktikan melalui peristiwa berdarah 13 Mei 1969.


INTERAKSI ETNIK, BANGSA DAN KEPERCAYAAN SELEPAS MERDEKA
Interaksi antara setiap masyarakat Malaysia yang pelbagai etnik, bangsa dan kepercayaan ini sememangnya telah wujud sejak dulu lagi tetapi interaksi yang wujud adalah mempunyai peringkat yang berbeza. Peringkat interaksi yang berbeza ini dipengaruhi oleh persekitaran yang berbeza. Di Malaysia terutamanya di Semenanjung Malaysia kita boleh melihat peringkat-peringkat interaksi ini berdasarkan dua peringkat yang utama iaitu sebelum peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas peristiwa tersebut hingga ke hari ini. Jika kita perhatikan interaksi yang berlaku dalam dua peringkat tersebut berlaku perbezaan yang ketara.

SEBELUM PERISTIWA 13 MEI 1969

Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957.  Pada ketika ini masyarakat Tanah Melayu terdiri daripada tiga kelompok etnik yang besar iaitu Melayu, Cina dan India disamping beberapa etnik minoriti seperti Orang Asli dan masyarakat peranakan. Namun, interaksi yang berlaku di antara tiga etnik terbesar tersebut memberikan kesan yang besar kepada situasi yang berlaku dalam negara. Pada peringkat awal kemerdekaan Tanah Melayu, interaksi yang berlaku dalam kalangan etnik Melayu yang merupakan peribumi dan orang India dan Cina yang dikenali sebagai masyarakat pendatang berada dalam peringkat yang sangat minimum. Interaksi yang boleh nampak jelas ialah interaksi yang berlaku dalam kalangan para pemimpin berikutan daripada gabungan ketika menuntut kemerdekaan namun bagi golongan rakyat, interaksi itu masih minimum. Interaksi diantara pemimpin yang pelbagai kaum tersebut boleh dikategorikan sebagai interaksi kerjasama di mana mereka bekerjasama, saling bantu-membantu untuk mencapai tujuan yang sama iaitu kebebasan dari penjajah. Perhubungan yang berlaku dalam kalangan rakyat pula hanya bila orang Melayu ke bandar untuk mendapatkan barangan keperluan ataupun orang Cina ke kampung untuk mendapatkan barangan dagangan. Selesai urusan tersebut mereka akan kembali semula kepada kelompok etnik masing-masing. Interaksi yang berlaku hanyalah interaksi antara individu-individu yang berada dalam kelompok etnik yang sama.
Kemudiannya pada 16 September 1963, Malaysia ditubuhkan dengan kemasukkan Sarawak, Sabah dan Singapura. Jumlah penduduk dan keluasan kawasan pemerintahan telah bertambah. Selain itu, Sabah dan Sarawak mempunyai kepelbagaian etnik yang lebih rumit berbanding Tanah Melayu manakala Singapura pula majoriti penduduknya adalah kaum Cina. Sarawak dan Sabah mempunyai lebih kurang 60 etnik. Maka, interaksi etnik yang berlaku lebih kompleks. Namun, interaksi etnik yang berlaku di Sabah dan Sarawak lebih natural dan unik berbanding di Semenanjung Malaysia ketika itu.
Interaksi etnik yang berlaku di kedua negeri Borneo dan Semenanjung Malaysia adalah berbeza. Walaupun etnik yang wujud di negeri Borneo lebih kompleks tetapi interaksi antara mereka tidak serumit interaksi yang berlaku di Semenanjung Malaysia. Sehingga hari ini, tidak timbul isu-isu perkauman yang serius di kedua negeri tersebut. Hal ini, kita boleh lihat dengan jelas ketika peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah tersebut hanya melibatkan orang Melayu dan Cina di Semenanjung Malaysia tetapi tidak melibatkan kedua negeri tersebut biarpun Melayu dan Cina juga ramai di negeri tersebut. Walaupun seringkali diperkatakan bahawa peristiwa berdarah itu berlaku akibat ketidakseimbangan ekonomi iaitu monopoli ekonomi oleh orang Cina dan keterpinggiran orang Melayu tetapi kurang interaksi juga merupakan penyumbang kepada peristiwa tersebut. Jika wujud interaksi atau komunikasi yang baik dan erat dalam kalangan orang Cina dan Melayu ketika itu, peristiwa tersebut dapat dielakkan kerana interaksi  membolehkan kita memahami antara satu sama lain. Apabila wujud persefahaman kita akan cuba bertoleransi antara satu sama lain dan setiap masalah boleh diselesaikan dengan aman.

SELEPAS PERISTIWA 13 MEI 1969







Selepas peristiwa 13 Mei pelbagai usaha telah diwujudkan oleh kerajaan untuk mengelakkan peristiwa seperti itu berulang. Salah satu usaha kerajaan yang sering diperkatakan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Secara umumnya, DEB ini bertujuan merapatkan jurang ekonomi yang wujud antara kaum namun dan menyusun semula masyarakat. Hal ini kerana, jurang ekonomi yang wujud turut mewujudkan jurang sosial. Masyarakat Cina yang menguasai perdagangan tinggal di bandar-bandar dan hidup mewah sedangkan orang Melayu masih lagi dengan amalan ekonomi tradisional, tinggal di kampung dan hidup miskin. Secara tidak langsung, orang Melayu akan merasa rendah diri dan orang Cina pula merasakan mereka lebih hebat. Apabila wujud keadaan seperti ini maka masalah interaksi akan terjadi dan masing-masing akan mempunyai pandangan yang stereotaip yang kebiasaannya bersifat negatif terhadap sesuatu kaum. Inilah keadaan yang cuba dihapuskan oleh kerajaan dalam perlaksanaan DEB. Proses interaksi sosial boleh kita lihat dalam dua iaitu interaksi yang membawa kepada penyatuan dan perpecahan. Interaksi yang membawa kepada penyatuan ialah interaksi secara kerjasama, akomodasi dan asimilasi manakala interaksi yang membawa kepada perpecahan ialah persaingan, kontravensi dan pertentangan. Kerajaan cuba mewujudkan interaksi yang membawa kepada penyatuan dan mengelakkan interaksi yang ke arah perpecahan melalui DEB.
Selain itu, Rukun Negara telah digubal sebagai garis panduan rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan etnik, kebudayaan dan kepercayaan supaya perpaduan boleh diwujudkan. Lima prinsip Rukun Negara menggariskan prinsip-prinsip yang harus diikuti dan diamalkan oleh rakyat. Dalam prinsip yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, kita boleh melihat  istilah Tuhan digunakan bukannya istilah Allah. Ini kerana perkataan Tuhan adalah lebih umum dan boleh digunakan oleh semua rakyat di Malaysia tanpa mengira apa jua agamanya. Selain itu, prinsip yang pertama ini juga membawa rakyat Malaysia kembali kepada agama masing-masing kerana tiada agama yang mengajarkan kejahatan melainkan kebaikan kepada umatnya. Apabila manusia kembali kepada ajaran agamanya maka manusia tersebut akan menjauhi kejahatan dan perkara-perkara yang negatif seperti persengketaan. Prinsip yang kedua pula ialah Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Kesetiaan kepada raja dan juga negara akan menghalang individu daripada melakukan sesuatu tindakan yang boleh memurkakan raja dan memusnahkan negaranya.  Prinsip yang ketiga pula ialah Keluhuran Perlembagaan, dimana perlembagaan negara merupakan tunjang utama negara. Jika semua rakyat Malaysia berpegang pada Perlembagaan maka peristiwa 13 Mei tidak akan berulang lagi. Seterusnya prinsip yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-undang. Undang-undang merupakan satu sistem peraturan atau norma yang cuba diikuti oleh ahli-ahli masyarakat. Jika masyarakat mematuhi undang-undang, maka masalah dapat dielakkan. Prinsip terakhir iaitu Kesopanan dan Kesusilaan merupakan prinsip yang amat penting dalam perhubungan sosial masyarakat Malaysia. Sikap sopan dan bertatasusila mampu mengelakkan konflik antara individu kerana setiap individu mampu berinteraksi dan berkomunikasi dengan penuh kesopanan dan tertib dalam setiap tingkah lakunya. Setiap prinsip dalam Rukun Negara mempunyai makna dan nilai yang tersirat yang menjurus kepada melahirkan warganegara yang berperibadi mulia dan seterusnya boleh mewujudkan interaksi yang positif sesama masyarakatnya. Dasar Pendidikan Negara juga merupakan langkah yang  dilakukan kerajaan untuk mewujudkan interaksi yang erat antara kaum di Malaysia  agar perpaduan dan keharonian dapat dicapai. Objektifnya boleh ditafsirkan sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja untuk keperluan ekonomi.  Kerajaan melihat bahawa kanak-kanak merupakan golongan yang amat sesuai dalam mewujudkan perhubungan yang harmoni antara pebagai kaum kerana dalam usia kanak-kanak golongan ini mudah menerima nilai-nilai yang ingin diterapkan. Lagipun interaksi yang baik diantara kaum harus dipupuk sejak dari kecil agar mereka mudah menerima dan memahami serta bertoleransi dengan setiap perbezaan yang wujud di antara mereka. Pemahaman perbezaan tentang budaya dan kepercayaan sejak kecil akan mengelakkan pandangan stereotaip yang seringkali melumpuhkan komunikasi antara individu atau masyarakat. Dalam sekolah ini juga interaksi berbentuk kerjasama, akomodasi ataupun penyesuaian dan asimilasi  boleh diwujudkan. Interaksi berbentuk kerjasama boleh diwujudkan di sekolah dengan aktiviti-aktiviti kerja berpasukan seperti melakukan gotong-royong membersihkan sekolah. Interaksi berbentuk akomodasi atau berbentuk penyesuaian boleh berlaku apabila pelajar yang pelbagai latar belakang ekonomi, agama dan etnik berada dalam satu kelas yang sama dan cuba menerima dan memahami antara satu sama lain. Asimilasi boleh diwujudkan dengan sikap toleransi antara pelajar, sikap terbuka, persamaan dari aspek budaya dan sikap menghargai antara satu sama lain. Interaksi-interaksi seperti ini mudah dilahirkan dalam kalangan kanak-kanak kerana seperti peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Kepelbagaian etnik yang wujud di Malaysia membawa kepada kepelbagaian kebudayaan. Kerajaan telah melihat betapa pentingnya peranan kebudayaan dalam membentuk perpaduan. Salah faham dan pandangan stereotaip yang wujud adalah kerana kurangnya pemahaman dan pengetahuan tentang kebudayaan sesuatu kaum. Perlaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah berdasarkan kepada keadaan tersebut. Kerajaan cuba mewujudkan hubungan dalam kalangan rakyat melalui kebudayaan. Dalam dasar ini kerajaan melakukan pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan setiap kaum yang ada di Malaysia. Dengan langkah tersebut, setiap kebudayaan etnik yang wujud di Malaysia dapat diangkat dan ditonjolkan. Dalam aspek ini, interaksi secara asimilasi dapat berlaku hal ini kerana, kebudayaan etnik-etnik di Malaysia mempunyai persamaan. Misalnya, budaya kunjung-mengunjung di musim perayaan. Kesemua kaum di Malaysia mempunyai budaya tersebut pada musim perayaan kaum mereka dan kini budaya ini telah menjadi satu budaya yang wajib di Malaysia. Dasar ini bukan sahaja boleh mewujudkan hubungan yang lebih baik antara kaum tetapi juga meningkatkan martabat budaya Malaysia hingga ke peringkat antarabangsa.


PERANAN INTERAKSI SEBAGAI AGEN PERUBAHAN.
Bagi sesebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti negara kita Malaysia, interaksi antara pelbagai etnik, bangsa dan kepercayaan memainkan peranan yang sangat penting. Oleh demikian, peranan interaksi sebagai agensi perubahan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Kerajaan telah mewujudkan beberapa dasar-dasar yang dapat mengeratkan lagi hubungan perpaduan antara pelbagai kaum, etnik, bangsa, budaya dan kepercayaan di negara kita. Tujuan utama dasar- dasar tersebut digubal adalah untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum di negara kita.  Dasar-dasar yang digubal sememangnya  agen perubahan yang sangat berkesan sekali kerana ia membawa implikasi positif terhadap hubungan pelbagai kaum di negara kita.

PERLEMBAGAAN.

Salah satu dasar yang telah digubal oleh kerajaan yang memainkan peranan sebagai agen perubahan adalah melalui Perlembagaan negara kita. Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi di  negara kita, segala perundangan yang bercanggah dengan perlembagaan secara automatiknya akan terbatal setakat yang bercanggah. Di dalam perlembagaan Malaysia bahagian satu,  perkara 3 (1)  ada menyatakan bahawa agama Islam merupakan agama persekutuan iaitu agama rasmi negara. Walau bagaimanapun, ia tidak menghalang agama lain  diamalkan di negara kita. Sebagai contoh, kaum India, Cina, bebas untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang halangan. Hal ini membuktikan bahawa menerusi perlembagaan setiap etnik, bangsa dan ras  sebenarnya dapat memupuk perpaduan dengan berkongsi kepelbagaian budaya yang dimiliki oleh kita. Contohnya, melalui perayaan yang disambut setiap tahun seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan krismas ikatan silaturahim sesama masyarakat  dapat dieratkan.  walaupun mempunyai agama yang berbeza namun kepelbagaian budaya yang dimiliki menjadikan interaksi antara kaum dapat berjalan dengan baik. Bahkan perbezaan kebudayaan yang  dimiliki juga menjadikan negara kita unik sekali di mata dunia.


DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN.
Selain itu, kerajaan juga telah mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang turut bertindak sebagai agen perubahan dalam interaksi antara kaum.  Objektif utama dasar ini ditubuhkan adalah untuk mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan,  memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan di samping  menjana  kerohaniaan yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi. Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia. Ia berperanan penting dalam proses pembangunan negara di Malaysia kerana ia mencerminkan keperibadian negara kita. Dasar ini sebenarnya dapat memupuk semangat kerjasama  khususnya dalam usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi.Ini sudah tentunya memerlukan penggemblengan dan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam satu proses yang berterusan.Oleh itu, dasar ini merupakan agen perubahan yang berkesan sekali. Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional memerlukan perancangan yang teliti dan rapi supaya dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu walaupun mempunyai latar belakang budaya yang berbeza.
Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang baik, mulia dan utama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara. Justeru itu, atas sebab tersebut kerajaan telah menggubal dasar ini bagi menyatupadukan  kebudayaan yang pelbagai di negara kita. Melalui Dasar Kebudayaan ini setiap etnik dapat berhubung dengan baik. Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi negara kita yang tergolong dalam kalangan negara sedang membangun kerana mempunyai penduduk berbilang kaum dan mengamalkan budaya yang berbeza. Justeru itu, dapatlah dibuktikan bahawa dasar ini dapat dijadikan garis panduan dalam membentuk serta mewujudkan satu bangsa yang bersatu-padu serta dapat  mengekalkan identiti negara.


KONSEP 1 MALAYSIA.






Bagi melahirkan Bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, termasuk dalam bidang  sosial, ekonomi dan politik, maka Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak memperkenalkan  Konsep 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan  Prinsip-Prinsip Rukun Negara. Konsep  1Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang  bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.  Gagasan 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. Gagasan 1Malaysia juga  menekankan sikap penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. 1Malaysia  bermatlamat untuk mengekal dan  meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta  rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.  Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula sejak kemerdekaan dicapai.   Justeru itu, 1Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.


RUKUN NEGARA.
Di samping itu, setiap warganegara Malaysia juga hendaklah menjadikan Rukun Negara sebagai teras dan landasan hidup bermasyarakat di negara ini. Rukun Negara diwujudkan untuk menyemai nilai-nilai murni seperti nilai keagamaan, kesetiaan kepada raja dan negara, kepatuhan kepada perlembagaan, kedaulatan undang–undang serta membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai kesopanan dan kesusilaan. Rukun Negara juga menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum ke arah pembentukan perpaduan nasional dan menjamin kesejahteraan masyarakat. Seterusnya melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil,   liberal dan  saintifik tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara adalah jelas merupakan kunci kepada masyarakat majmuk negara ini untuk memelihara serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Perpaduan dan penyatuan rakyat amat penting dalam usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyat.  Melalui Rukun Negara, semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan agama dapat berpegang kepada  satu  ideologi yang dapat dijadikan sebagai amalan dan etika kehidupan seharian mereka. Rukun Negara amalan hidup  rakyat Malaysia.
Rukun Negara digariskan untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dalam melahirkan rakyat yang hidup aman dan damai walaupun berbeza bangsa dan agama.  Masyarakat yang   adil dalam pengagihan   kekayaan dan kemakmuran negara.  Masyarakat  yang  progesif  dalam  mewujudkan  warganegara yang  berbudaya  ilmu demi  mewujudkan  rakyat  yang cukup  pengetahuan  untuk  membangunkan  negara. Masyarakat yang liberal yang diberikan kebebasan mengamalkan budaya kaum serta memelihara budaya kebangsaan.


DASAR INTEGRASI NASIONAL.
Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik. Persoalan hubungan etnik, perpaduan dan integrasi amat penting bagi mewujudkan kestabilan politik dan seterusnya pembangunan negara berjalan rancak tanpa sebarang gangguan. Perpaduan dan Integrasi penting supaya tenaga negara dapat disalurkan kepada memajukan negara. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara mempunyai kepelbagaian dari segi agama, bahasa, budaya dan etnik.
Agen hubungan etnik mempunyai tahap- tahap  fungsi hubungan etnik yang pelbagai iaitu pada peringkat  diri sendiri, keluarga, jiran, masyarakat dan negara. Melalui agen hubungan etnik ini budaya yang mencetuskan  perpaduan boleh dibentuk, budaya yang berpaksikan kepada wawasan yang  boleh dikongsi  bersama, disokong oleh media yang positif dan dasar-dasar  kesederhanaan yang  membawa  kepada keseimbangan. Hal ini sangat perlu kerana sebarang aspek budaya yang diekstrimkan tanpa berpandu kepada  kontrak sosial akan membawa keretakan integrasi nasional.


DASAR PENDIDIKAN NEGARA.
Selain itu, kerajaan juga turut melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang secara lansung dapat merapatkan hubungan antara pelbagai kaum. Contohnya melalui penubuhan sekolah kebangsaan. Jika diteliti,dasar ini sebenarnya turut memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan interaksi antara pelbagai etnik, bangsa, budaya mahupun kepercayaan. Dalam kata lain, dasar ini sebenarnya agen perubahan yang dapat menggalakkan lagi perpaduan masyarakat majmuk di negara kita. Melalui dasar pendidikan sesebuah negara dapat maju dan berkembang pesat. Justeru itu, semua dasar pelajaran seperti Penyata Barnes, Penyata Fenn-Wu,  Undang-undang Pelajaran 1952,  Penyata Razak, Penyata Rahman Talib, dan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebenarnya bertujuan untuk memupuk perpaduan. Ia bagi memastikan pengasingan pendidikan yang wujud sebelum ini dimansuhkan dan digantikan dengan sistem yang lebih seragam dan menyeluruh. Keseragaman tersebut bertujuan untuk memantapkan lagi ikatan perpaduan yang wujud selama ini.


BAHASA MELAYU SEBAGAI ALAT PERPADUAN.
Seperti yang kita ketahui, Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan negara kita.. Dalam Perkara 152 perlembagaan ada menyatakan kedudukan Bahasa Melayu.Hal ini bermaksud bahasa melayu telah berubah tarafnya daripada bahasa kebangsaan bangsa melayu kepada bahasa kebangsaan negara Malaysia. Perubahan taraf ini sebenarnya memberikan implikasi yang sangat luas. Salah satu implikasi tersebut adalah sebagai agen perubahan yang berfungsi sebagai alat perpaduan utama masyarakat majmuk di negara kita. Penggunaan bahasa melayu dalam interaksi seharian antara pelbagai kaum sebenarnya dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan ini secara langsung dapat memupuk semangat perpaduan antara pelbagai etnik. Contohnya, apabila orang cina, India dan melayu ingin berkomunikasi mereka akan menggunakan bahasa melayu hal ini disebabkan kedudukan bahasa melayu sebagai bahasa perhubungan yang utama berbanding bahasa lain. Namun demikian, penggunaan bahasa lain adalah tidak dilarang.


KESIMPULAN
Penggubalan dasar, pelan kerajaan ini merupakan salah satu agenda kerajaan dalam mewujudkan interaksi. Tetapi sejauh manakah keberkesanan dasar ini dalam isu interaksi? Perpaduan yang jitu masih lagi dicari dan pembentukan Bangsa Malaysia tetap menjadi satu agenda utama negara. Idea Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri Malaysia) merealisasikan konsep Negara Bangsa masih belum tercapai disebabkan masih wujud pebagai masalah interaksi antara indivudu. Interaksi di antara individu pelbagai etnik hanya kerap berlaku sekiranya individu berkenaan berada dalan satu persekitaran multi-etnik seperti di SMK. Berjayakah Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Melanau dan etnik yang lain yang terdapat di Malaysia dibawa ke satu ruang fizikal yang sama oleh pelbagai dasar dan program perpaduan? Sekiranya ada di antara etnik itu tercicir, maka interaksi yang berlaku hanya relevan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan individu etnik yang telah berjaya dibawa ke satu ruang fizikal yang sama. Etnik yang tercicir kurang mempunyai peluang untuk berinteraksi antara pelbagai etnik. Kejayaan meningkatkan interaksi antara  pelbagai etnik bergantung kepada skop dasar dan program yang diperkenalkan dan kejayaan perlaksanaannya oleh pelbagai peringkat agensi-agensi kerajaan. Jika tidak dapat dilaksanakan interaksi sosial pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan maka ‘Satu Negara Satu Bangsa’ hanya akan tinggal sebagai slogan tanpa penghayatan semua rakyat Malaysia. Yang pasti usaha, kajian serta penggubalan dasar yang lebih efektif pasti menjamin interaksi yang lebih berkesan dan cabaran strategik yang dimuatkan dalam Wawasan 2020 iaitu pembentukan bangsa Malaysia dapat dicapai.

2 Responses so far.

  1. hai ,,,, boleh saya tau bagaimana kerajaan menyatupadu masyarakat malaysia selepas merdeka samaada melalui dasar rancangan malaysia mahupun apa2 medium???

  2. Ave James says:

    selamat sejahtera...mohon kebenaran jdkan teks sbgai bahan rujukan..terima kasih

Leave a Reply