Isu Murtad Di Malaysia

Posted by Rema G - -







 PENGENALAN
DEFINISI MURTAD
Perkataan murtad berasal dari Bahasa Arab iaitu riddah atau irtidad. Dari sudut bahasa perkataan riddah kebiasaannya membawa maksud kembali atau rujuk iaitu kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Adapun perkataan irtidad membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam atau meninggalkan Islam untuk mempercayai agama lain. Manakala dari segi istilah ia bermaksud meninggalkan atau keluar dari agama Islam dan memeluk mana-mana agama atau mana-mana akidah lain atau mana-mana ajaran sesat dan menyeleweng samaada dengan melalui perkataan, perbuatan atau apa-apa iktikad, kepercayaan dan keyakinan hati.
PERKARA-PERKARA YANG BOLEH MENYEBABKAN MURTAD
Menurut Islam, murtad boleh terjadi dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara berikut: Pertama : melalui perkataan atau ucapan dan kata-kata. (Murtad Qawli). Murtad boleh berlaku dengan perkataan atau ucapan dan kata-kata yang dikeluarkan oleh seseorang Islam yang menunjukkan dia menolak hukum-hukum Islam dan prinsip-prinsip ajaran Islam yang diketahui oleh semua orang atau kata-kata yang menghina mana-mana ajaran Islam, hukum-hukum Islam, menghina Allah SWT, menghina nabi Muhammad SAW dan nabi-nabi lain dan sebagainya, atau seseorang itu mengingkari wajib mengeluarkan zakat, wajib berpuasa, wajib sembahyang lima waktu, wajib haji dan lain-lain. Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang diharamkan oleh Allah dan rasulnya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama tentang halal atau haramnya seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat (hubungan sejenis), menghalalkan minum arak atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jualbeli dan seterusnya. Maka sikap demikian boleh menjadi murtad.
Kedua : Melalui perbuatan atau tingkahlaku. (Murtad Fi’li) Murtad juga boleh berlaku melalui apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkahlaku yang boleh membatalkan imannya, maka seseorang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah SWT seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain. Begitu juga yang meninggalkan sembahyang fardu atau puasa Ramadhan dengan mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari salah satu perkara wajib yang telah diketahui oleh setiap orang Islam, tetapi kalau dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad. Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan Al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadis dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina.
Ketiga : Melalui akidah, kepercayaan atau niat. (Murtad I’tiqadi) Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang Islam mengingkari didalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jenayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang di dalam masyarakat moden. Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lampau, tidak sesuai dengan zaman moden sekarang. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktikad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkitkan semula sesudah mati, beriktikad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam atau berbalik-balik hati antara mahu menjadi kafir pada masa akan datang dan lainlain lagi keyakinan dan iktikad yang salah.


MURTAD DARI PERSPEKTIF ISLAM
Seseorang atau sesuatu kumpulan boleh menjadi murtad dengan mempersekutukan Allah sama ada melalui iktikad, ucapan ataupun perbuatan, mengingkari agama Islam atau satu rukun padanya atau mengingkari satu hukum Islam yang dapat diketahui secara jelas dan sahih dan orang yang mengiktikadkan bahawa tidak wajib berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah. Dalam jenayah murtad, terdapat dua unsur penting iaitu tindakan keluar daripada agama Islam seperti perbuatan yang boleh membawa syirik ialah sujud kepada selain dari Allah dan mempunyai niat melakukannya dengan sengaja.
Pada dasarnya, terdapat beberapa pandangan mengenai hukuman murtad dalam Islam danianya boleh dirumuskan kepada dua golongan:-


HUKUMAN MURTAD ADALAH HUDUD
Golongan ini dipelopori oleh ulama tradisional seperti Madhhab Shafii, Maliki dan Hanbali dimana mereka berpendapat bahawa murtad tergolong dalam dosa-dosa besar yang tidakdiampunkan oleh Allah melainkan bertaubat. Firman Allah Subhanahu Wataala di dalamsurah al-Baqarah ayat 217 ".....Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah)dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka,mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya)”.
Ini ditambah lagi dengan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:"Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia." Di dalam hadis yang lain baginda bersabda yang bermaksud: "Tidak halal darah seseorang muslim itu kecuali dengan salah satu dari tiga perkara: Orang yang telah berkahwin melakukan zina, nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh dengan sengaja) dan meninggalkan agama yang berpisah dengan jamaah muslimin."Namun demikian, hukuman murtad hanya akan dilaksanakan sekiranya telah tamat tempohuntuk bertaubat yang diberikan seperti memberikan tempoh selama 3 hari untuk bertaubat. Namun demikian, terdapat beberapa pandangan mengenai tempoh masa untuk bertaubat yang diberikan.

TIADA KETETAPAN BENTUK HUKUMAN MURTAD.

Pendapat ini dipelopori oleh ulama kontemporari seperti Abd al-Mutaali al-Saidi, Ibrahim al-Nakhai, Muhammad Abduh, Mohamad Hashim Kamali dan lain-lain lagi. Pada dasarnya hukuman murtad bukanlah hudud tetapi hanya takzir. Golongan ini berpendapat umpamanya pandangan Abd al-Mutaali al-Saidi iaitu manusia diberikan kebebasan beragama mengikut pilihannya. Faktor yang menyebabkan Rasululullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan hukuman bunuh pada kesalahan murtad bukanlah kerana kemurtadan mereka tetapi berfaktorkan pemberontakan menentang Islam. Terdapat juga kritikan ulama terhadap kesahihan dan darjat hadis ”sesiapa yang menukar agamanya hendaklah dibunuh” Hadis ini adalah hadis ahad dan tidak kuat untuk dijadikan hujah kepada sesuatu hukum menurut ilmu usul fiqh.
Secara ringkasnya, kebanyakan ulama terdahulu berpegang teguh bahawa murtad dikenakan hukuman hudud manakala ada ulama kontemporari mengatakan tiada ketetapan mengenai hukuman murtad atau dalam erti kata lain ianya adalah takzir. Namun begitu, isu penentuan hukuman murtad bukanlah menjadi perkara utama yang hendak dibincangkan di dalam artikel ini. Perbincangan akan lebih menekankan tentang perpekstif undang-undang yang digunapakai di Malaysia.


ISU MURTAD DAN KEBEBASAN BERAGAMA DALAM KERANGKA PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Isu murtad di Malaysia perlu dibincangkan dalam konteks yang tertentu. Ini penting kerana di mana-mana pun perlembagaan dan undang-undang, terutamanya apabila ia melibatkan ruang lingkup hak-hak yang tertentu, harus dilihat sebagai manifestasi dan kehendak masyarakat. Sebab itu meskipun persoalan-persoalan tersebut diregulisasikan oleh nilai dan peraturan yang bersifat sejagat dan global ada aspek-aspek yang harus dirujuk atau difahami dalam konteks tertentu. Meskipun begitu kita mengakui bahawa pertimbangan-pertimbangan di atas kesemuanya berbentuk pengecualian. Sesuai dengan nama dan sifatnya, pengecualian harus bersifat khusus dan tidak terlalu banyak bilangannya. Perlu disedari bahawa hal-hal tertentu seperti demokrasi, terutamanya kebebasan asasi seperti kebesan bersuara, akhbar, berhimpun secara aman tidak boleh disekat kerana itu semua adalah keperluan dasar dalam mana-mana sistem demokrasi.
Sebagai sebuah agama yang syumul dan suci Islam menjamin hak kebebasan beragama. Islam memberi hak kepada setiap individu untuk memilih agama yang ingin dianuti tanpa ada paksaan malahan Islam menyuruh untuk menghormati amalan agama lain. Perkara ini telah dirakamkan oleh Allah Subhanahu Wataala di dalam firmanNya yang bermaksud:-
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Para fuqaha telah lama membincangkan hak kebebasan agama ini dan jika diteliti terdapat pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Ada fuqaha berpandangan bahawa hak kebebasan beragama yang dimaksudkan adalah hak untuk menganuti sebarang agama iaitu seseorang itu bebas untuk memilih agama dan jika beliau memilih Islam agamanya maka adalah dilarang keras untuk keluar dari agama Islam. Terdapat juga pandangan yang lain beranggapan bahawa hak kebebasan beragama ini adalah mutlak dan setiap individu diberi kebebasan untuk memilih agamanya.

UNDANG-UNDANG BERKAITAN MURTAD.
KESALAHAN MURTAD ATAU KESALAHAN KELUAR AGAMA ISLAM

Dalam membincangkan undang-undang berkaitan murtad, terdapat persoalan besar yang perlu diselesaikan iaitu adakah terdapat peruntukan kesalahan murtad di bawah mana-mana enakmen atau akta di Malaysia. Jika diteliti, sememangnya tidak terdapat undang-undang yang jelas mengenai murtad termasuk hukumannnya. Ini berikutan undang-undang jenayah Islam yang boleh dikuatkuasakan oleh Mahkamah-mahkamah Syariah di negeri-negeri di Malaysia hanyalah merangkumi hukuman maksima 3 tahun penjara atau 6 sebatan atau RM5000 denda atau kombinasi mana-mana hukuman. Jelasnya, bidang kuasa jenayahnya adalah terhad dan hanya boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam sahaja. Jenayah murtad tidak di sebut di dalam enakmen kesalahan jenayah Syariah di kebanyakan negeri di Malaysia. Namun demikian, terdapat peruntukan kesalahan keluar agama Islam diguna pakai di beberapa buah negeri. Tidak terdapat penggunaan istilah kesalahan murtad yang diperuntukkan oleh mana-mana enakmen jenayah syariah negeri-negeri melainkan undang-undang hudud, qisas dan takzir yang cuba dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu satu ketika dulu. Di antara beberapa faktor yang menyebabkan penggunaan istilah keluar agama Islam dan bukan murtad adalah kerana hukuman murtad yang merupakan hukuman mati sekiranya disabitkan adalah melampaui bidangkuasa mahkamah syariah. Sebagai contoh, Melaka telah memperuntukkan kesalahan keluar dari agama Islam sebagai satu kesalahan dan bukan murtad. Seksyen 66(1) Enakmen Kesalahan (Syariah) (Negeri Melaka) 1991 menyatakan bahawa apabila seseorang Islam dengan sengaja mengaku hendak keluar dari Agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah boleh memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut hukum syarak. Jika seseorang telah bertaubat, maka taubatnya itu mestilah disahkan di Mahkamah dan kemudian barulah dia boleh dibebaskan. Jika pula seseorang itu bertaubat semasa dalam tahanan, Pegawai Penjaga hendaklah melaporkan perkara itu kepada mahkamah dan taubatnya juga perlu disahkan oleh Mahkamah. Seksyen 6 (1) pula memperuntukkan seseorang yang bersyubahat dibawah seksyen 66 adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua-dua nya sekali. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa tidak terdapat peruntukan khusus mengenai kesalahan murtad yang dikuatkuasakan di Malaysia. Undang-undang sedia  ada yang telah dilaksanakan bukanlah melibatkan kesalahan murtad tetapi merujuk kepada kesalahan keluar agama Islam. Penggunaan istilah permohonan murtad juga tidak digunakan di dalam mana-mana enakmen negeri-negeri. Kebanyakannya menggunakan istilah permohonan pengisytiharan status agama.


BIDANG KUASA MAHKAMAH




Oleh kerana kesalahan keluar agama Islam membabitkan hukuman dibawah bidang kuasa mahkamah syariah maka kuasa mahkamah di dalam mengadili perkara ini telah disebut dengan jelas di dalam kebanyakan enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri di Malaysia.
Di Selangor misalnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 telah memperuntukkan di dalam Seksyen 61(3)(b) yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di bawah bidangkuasa malnya untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu, antara lain berhubung dengan pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam. Kes-kes yang diputuskan di mahkamah juga telah menekankan bahawa Mahkamah Tinggi Syariahlah yang mempunyai bidangkuasa mendengar kes-kes keluar agama Islam sungguhpun di kebanyakan negeri tidak terdapat peruntukan yang jelas menyatakan demikian. Oleh kerana mahkamah syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan kesahan seseorang itu masuk Islam, maka mahkamah syariah jugalah yang mempunyai bidangkuasa untuk menentukan seseorang itu masih lagi muslim atau sudah meninggalkan agama Islam sebagai agamanya.


KEBEBASAN BERAGAMA DALAM KONTEKS GLOBAL
Hak kebebasan beragama adalah hak yang bersifat sejagat.Bermula dengan Perisythiharan Sejagat tentan Hak Asasi Manusia(UDHR) 1948, pelbagai instrumen perundangan antarabangsa mengakui hak ini. Bagaimanapun, instrumen undang-undang antarabangsa itu tidak mengikat negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Walaupun ini bukan alasan untuk meremehkan kedudukan instrumen berkenaan terutama dalam hal-hal pokok seperti hak untuk hidup dan seumpamanya. Ada hal-hal tertentu yang amat sentral di dalam agama dan tradisi tertentu yang perlu dibaca bersama dengan instrumen berkenaan. Ini termasuklah persoalan menukar agama yang sangat penting disisi Islam. Awal-awal lagi beberapa negara muslim telah mengambil sikap berkecuali terhadap hak tersebut. Ini bukan sesuatu yang luarbiasa kerana pada masa sama negara-negara blok sosialis turut membuat pendirian yang serupa dalam beberapa isu lain yang menyentuh idelogi mereka.
Bagaimanapun di peringkat anatarabangsa kebelakangan ini telah berlaku beberapa insiden di mana umat Islam dinafikan hak kebebasan beragama. Yang agak mutakhir ialah larangan memakai tudung kepala di sekolah-sekolah awam di Perancis. Tetapi penafia tersebut telah berlaku lama sebelum itu: seperti sekatan terhadap beberapa amalan tertentu termasuk poligami. Meskipun Piagam Hak Asasi Eropah umpamanya menjamin kebebasan beragama, amalan poligami dipersulitkan walaupun tidak disekat secara rasmi. Tindakan tersebut diambil kerana mereka mendakwa bahawa amalan poligami bertentangan dengan hak sama rata yang mereka dakwa menunjangi sistem dan kehidupan tamadun Eropah. Penafian ini menunjukkan bahawa hak kebebasan beragama tidak selamanya mudah untuk dituntut terutamanya di dalam masyarakat yang secular atau tidak memberikan kedudukan kepada agama dan nilai kerohanian. Seperti yang termaklum, larangan memakai tudung kepala juga dibuat di Singapura dan Turki. Tekanan ke atas umat Islam semakin jelas selepas peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001.

Leave a Reply